JAWATANKUASA TATATERTIB FAM PUTUSKAN ANNUAR MUSA BERSALAH

| 05/04/2012 | 0 Comments
  • Sumo

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri berkuat kuasa semalam.

Pengerusinya, Datuk Taufik Razak memberitahu, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama lapan ahli Jawatankuasa Disiplin FAM yang bersidang hampir tujuh jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Terdahulu, Annuar didakwa melanggar statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, yang mana hanya Presiden FAM boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Atas kesalahan itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Beliau juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebarkan kepada pihak media. Bagi pertuduhan kedua itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan enam bulan.

“Ahli Jawatankuasa Disiplin FAM sebulat suara membuat keputusan bahawa Tan Sri Annuar Musa didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut. Justeru, pihak jawatankuasa tidak ada pilihan lain selain daripada menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan terhadap beliau (Annuar). Pihak jawatankuasa juga telah menggunakan budi bicara (dengan) tidak mengenakan sebarang denda terhadap beliau,” kata Taufik pada sidang akhbar di Bilik Piala Liga Wisma FAM semalam.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan ke atas Annuar itu menyebabkan jawatan yang disandang Annuar selaku Timbalan Presiden FAM serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digantung serta-merta. Selain menjawat kedua-dua jawatan utama itu, Annuar turut memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia.


Tags: , , ,

Category: SUKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *