‘SUDI KE CHEF WAN TERIMA HADIAH DARI SAYA?’

| 07/12/2015 | 0 Comments
  • Sumo

catsPertemuan singkat antara chef selebriti terkenal, Chef Wan dengan Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dalam penerbangan dari Johor ke Kuala Lumpur mampu menyingkap peribadi mulianya.

Menurut Chef Wan, Tunku Abdul Jalil menyapa Chef Wan dan meminta kebenaran untuk bersalaman dan mengaku sebagai peminat tanpa diketahui identiti putera keempat Sultan Johor itu.

“Al-Fatihah kepada insan teristimewa yang saya kenali ketika duduk di hadapan saya dalam penerbangan dan menyapa saya untuk pertama kali serta bersalaman dengan saya.

“Almarhum kata, ‘hai boleh saya salam? Saya peminat setia. Saya dan akak saya, selalu main masak-masak depan TV ketika Chef Wan bercakap. Chef Wan selalu buat saya ketawa’.

“Almarhum juga minta untuk saya pindah ke tempat duduk depan di sebelahnya supaya kami boleh berbual dengan selesa sepanjang perjalanan dari JB-KL,” ceritanya melalui kemas kini di laman sosial Instagram.

Malah, pada awalnya, Almarhum hanya memberitahu sedang menjalani latihan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika Chef Wan bertanya tentang pekerjaannya.

“Saya tanya, ‘you’ kerja di mana? (Tunku Jalil jawab) Oh saya tengah ‘training’ dengan PDRM. Saya kata oh macam ini kena lah makan lebih lagi. Saya tak tahu langsung bahawa Almarhum memang tidak sihat,” katanya.

Namun Tunku Abdul Jalil hanya tertawa dan berkata bahawa ingin merasa masakan Chef Wan.

“Saya kata, Insya-ALLAH jika saya ada restoran atau buat demonstrasi masakan, bolehlah datang rasa,” katanya.

Kemudian Tunku Abdul Jalil ada menawarkan hadiah untuk Chef Wan tentang sejarah Kesultanan Johor.

“Sudi ke Chef Wan terima hadiah dari saya? Almarhum keluarkan buku dari begnya. Saya kata kepadanya, ‘oh kamu penulis juga?

“Beliau jawab, ‘no…but this book was commissioned by my dad’. Beliau tandatangan buku itu dan ketika itulah baru saya tahu beliau adalah Tunku Jalil, anakanda kepada Sultan Johor,” kata Chef Wan lagi.

Menurut Chef Wan, mereka terus berborak dan Tunku Abdul Jalil sangat sopan dan sangat terhormat.

“Almarhum ada banyak minat mendalam dan sayangkan haiwan juga. Baru sebentar mendengar berita pemergiannya sudah tentu saat menyedihkan buat negara. Dia memang seorang yang sangat berani.

“Saya tak dapat bayangkan keperitan yang dilalui keluarga diraja Johor yang kehilangan ahli teristimewa mereka dan sedihnya teramat sangat.

“Saya sendiri yg mengenali beliau buat seketika itu pun terasa bagaimana merendah dirinya dan baiknya Tunku Jalil. Semoga ALLAH merahmati rohnya dan tempatkannya di Jannah. Al-Fatihah,” tulisnya.

Almarhum disahkan mangkat kira-kira jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pada Sabtu.


Tags: ,

Category: HIBURAN

Leave a Reply